Pages

Friday 18 February 2011

Erti Persahabatan








Erti persahabatan tak pernah lupus dalam jiwaku, meskipun nilai - nilainya pudar dibawa arus masa.
Dalam dunia ini, kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri…tetapi dalam kita bersendiri, kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang memahami kita. Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat, begitu juga dia.



Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Kita cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita.

Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita tidak memberi dia peluang untuk menerangkan keadaannya. Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri. Kita terlupa, kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti...kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati. Kita beri beribu alasan, 'memaksa’ dia menerima alasan kita. Waktu itu, terfikirkah kita tentang perasaannya? Seperti, dia juga tahu rasa kecewa…tetapi kita sering terlupa.

Untungnya mempunyai seorang kawan yang sentiasa di sisi kita pada waktu kita memerlukan dia. Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan, harapan dan impian kita luahkan, dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah.

Selalunya kita terlalu asyik bercerita tentang diri kita hingga kadang-kadang terlupa kawan kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita. Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita? 

Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup semangat setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah? Dapatkah kita yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan? 

Sesekali jadilah kawan yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan sahabat kita, kerana dia juga seorang manusia, dia juga ada rasa takut, ada rasa...bimbang, sedih dan kecewa.

Dia juga ada kelemahan dan dia juga perlukan kawan sebagai kekuatan. Jadilah kita kawannya itu. Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka. Di sebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan, di sebalik ketenangannya, mungkin tersimpan seribu kekalutan…kita tidak tahu…tetapi jika kita cuba jadi sahabat seperti dia, mungkin kita akan tahu.

Jika anda bersahabat, bersiaplah untuk berkorban demi sahabat anda. Jika anda bermusuhan dengan sahabat anda, bersiaplah untuk mengalah demi persahabatan kalian.

rasa hormat tidak selalu membawa kepada persahabatan, tetapi persahabatan tidak akan ada tanpa rasa hormat. Ini merupakan salah satu hal yang membuatkan sesuatu persahabatan itu lebih berharga daripada cinta.


The Misfits
My friends of misery..


Perkongsian kisah hidup seorang penulis..

Begitu mudah untuk mencari teman bergembira tetapi terlalu sukar untuk mencari teman berkongsi duka. Seandainya masih ingat bait-bait lagu Hijjaz tentang kawan. Dipaparkan di sini satu kisah untuk renungan bersama. Terdapat tiga orang sahabat yang bersama-sama ke mana sahaja ketika dalam pengajian di kampus. Mereka menyertai sebuah persatuan yang sama.

Pada hari terakhir di kampus, masing-masing menyatakan hala tuju hidup selepas ini. Dua daripada mereka telah bersetuju untuk bersama-sama bekerja di Selangor. Namun, sahabat yang seorang lagi telah mengambil keputusan untuk kembali ke negeri sendiri dan bekerja di sana. Kedua-dua sahabat ini kecewa kerana sahabatnya ini ingin meninggalkan mereka dan seolah-olah apa yang dirancang sebelum ini adalah sia-sia.

Tiada siapa menyangka, setahun kemudian sahabat ini kembali berjumpa mereka dan menghulurkan bantuan setakat yang mampu. Kedua-dua orang sahabat ini malu dengan diri sendiri kerana berprasangka terhadap sahabatnya. Ukhwah mereka kembali bertaut lantaran kemanisan ukhwah yang dikecap. Kerana kasih sayang yang ada dalam diri mereka. Di mana sekalipun kita berada, sahabat tetap diingati dalam doa. Yang paling penting, ikatan yang dibina adalah kerana –Nya.

Kasih sayang merupakan asas kepada ketenangan. Islam sendiri menekankan konsep kekeluargaan sebagai asas tarbiah yang membolehkan terjalinnya ikatan kasih sayang. Sekiranya kita imbau kenangan lalu bersama teman-teman sudah pasti ia masih terpatri dalam ingatan sekalipun telah bertahun tidak berjumpa. Ikatan kasih sayang sebenarnya dapat menjana kekuatan ingatan. Sehubungan dengan itu, walau jarak memisahkan hubungan kekeluargaan dan ikatan persahabatan masih utuh.

Menyingkap kisah Nabi Yusuf wajar diambil iktibar oleh semua. Bagaimana Nabi Yusuf ditinggalkan oleh adik beradiknya dalam perigi. Ditakdirkan Allah baginda diambil oleh sekumpulan musafir dan dijual kepada raja Mesir. Baginda dianugerahkan kepakaran mentafsir mimpi. Melihat kepada kejujuran dan kepakaran yang ada pada Nabi Yusuf, raja telah melantik baginda sebagai Menteri Kewangan. Ketika memegang jawatan ini, baginda ditakdirkan bertemu semula dengan saudara mara dan kedua ibu bapanya. Lantas mengikat kembali ikatan silatulrahim yang sedia terjalin. Dari kisah ini, Allah berfirman yang bermaksud :

“Maka ketika mereka membawanya dan sepakat memasukkannya ke dasar perigi, dan Kami wahyukan kepada Yusuf : Sesungguhnya kamu akan menceritakan kepada mereka perbuatan ini, sedang mereka tidak ingat lagi.” (SurahYusuf :15)

Bagi seorang ayah, bau badan anaknya masih segar di ingatan. Sepertimana firman Allah dalam Al Quran yang bermaksud :

“Pergilah kamu dengan membawa baju hamisku ini, maka letakkanlah ia ke wajah ayahku, nanti ia akan melihat kembali dan bawalah keluargamu semuanya kepadaku. Ketik kafilah itu keluar (dari Mesir). Sesungguhnya aku mencium bau Yusuf, sekiranya kamu tidak menuduhku lemah akal (tentu kamu membenarkan aku).” 
(Surah Yusuf :93-94)

Sungguhpun lama terpisah, ingatan Nabi Yaakub cukup kuat terhadap Nabi Yusuf iaitu anak kesayangnnya. Bagi Nabi Yusuf, perancangan negatif saudara mara ke atasnya masih segar dalam ingatan. Sirah ini memberikan petunjuk penting kepada kita dalam menjana kekuatan ingatan yang berteraskan hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Terasnya ialah perasaaan cinta dan kasih sayang, penyerahan diri kepada Tuhan dan kesediaan menempuh cabaran hidup dengan positif.

Dalam konteks kehidupan kita khususnya dalam persahabatan, adakalanya pertengkaran kecil pasti berlaku. Inilah yang mengeratkan lagi ikatan antara sahabat dan lebih mengenali diri masing-masing. Sekalipun ada hati yang terguris, lantaran kasih sayang yang wujud dalam diri berjaya menangkis segalanya. Kita akan memaafkan kesalahan sahabat kerana kasih akan sahabat. Ibarat manusia ini adalah satu anggota tubuh yang mana apabila salah satu anggota itu sakit, anggota lain pasti terasa juga tempiasnya. Jangan gadaikan sebuah persahabatan dek satu kesilapan yang dilakukan oleh sahabat kita. Tidak ada manusia yang sempurna di dalam dunia. Oleh itu, hendaklah kita menerima sahabat seadanya dan saling melengkapi.

Dalam meniti hari-hari yang mendatang, adakalanya tekanan melanda diri. Lantaran beban kerja yang menimbun dan masalah yang bertali arus datang dan pergi. Tika ini sahabat diperlukan untuk mencurahkan isi hati yang terpendam. Bersama renungkan analogi ini. Sekumpulan alumni yang mempunyai kerjaya yang mantap mengadakan pertemuan di rumah seorang profesor. Masing-masing menceritakan kehidupan dan tekanan kerja dan keluarga yang dihadapi. Mendengar luahan hati mereka, profesor tadi segera bangun menuju ke dapur. Kembali dengan membawa teko besar berisi air kopi dan pelbagai jenis cawan dan gelas. Ada yang diperbuat dari porselin, plastik, kaca dan kristal.

Profesor tadi menyuruh menyuruh mereka menuang sendiri kopi tersebut. Setelah semua bekas pelajarnya mengambil kopi masing-masing, profesor itu berkata : “ Jika anda semua perasan, semua cawan yang cantik dan mahal telah diambil dan meninggalkan cawan yang biasa dan kelihatan murah. Ini adalah keadaan yang biasa di mana anda semua mahukan yang terbaik dalam hidup anda, tetapi itulah punca kepada masalah dan ‘stress’ yang anda semua hadapi.

Apa yang sebenarnya diperlukan hanyalah kopi, bukan cawannya tetapi anda sendiri telah memilih untuk mengambil cawan yang terbaik. Dan lebih teruk lagi anda memerhatikan cawan yang diambil oleh orang lain. Kehidupan diibaratkan seperti kopi. Kerjaya, wang dan masyarakat adalah cawan tersebut. Cawan sekadar alat untuk mengisi kandungannya iaitu kehidupan. Kehidupan tidak berubah dan hanya alat yang berubah. Kadangkala kita terlalu fokus kepada cawan yang dipegang sehingga gagal untuk menikmati kopi tersebut.

Bagaimana penulis ingin mengaitkan dalam apa situasi sekalipun kita memerlukan seseorang untuk mendengar dan memberikan sokongan di kala diri lemah. Bagaimana pelajar-pelajar tadi saling memerlukan antara mereka. Sebagai penasihat dan pembimbing tika diri sedang leka dibuai mimpi indah. Oleh itu, janganlah mengabaikan atau memutuskan ukhwah yang terjalin kerana kesibukan duniawi. Hargailah sahabat yang berada di sekeliling kita.

Teliti kembali, adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab sebagai sahabat sebaik mungkin. Atau sekadar teman untuk minum kopi dan teh sahaja. Renungi diri. Jadilah sahabat yang baik dan sentiasa mendoakan kesejahteraan sahabatnya. Jujurlah dalam bersahabat. Sebelum meneruskan persahabatan yang mendalam mohonlah petunjuk Allah agar tidak tersalah pilih. Terimalah sahabat anda sebaiknya dan maafkanlah kesilapan yang sengaja atau tidak sengaja dilakukan. Persahabatan yang dijalin kerana Allah pasti berkekalan. Nilai sebuah persahabatan itu tidak mampu dibeli dengan wang dan harta lantaran harganya yang tidak terungkap.


sumber: ukhuwah.com









Gratisan Musik


unic- kau,kawan,sahabat dan teman

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...